Tourism Malaysia guna Kaamatan tarik lebih ramai pelancong sempena VM2026

KOTA KINABALU: Tourism Malaysia menjadikan sambutan Pesta Kaamatan sebagai antara platform utama mempromosikan budaya dan pelancongan negara sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, program yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) itu memberi peluang kepada pelawat untuk merasai sendiri keunikan budaya Sabah.

Katanya, pelawat disambut dengan persembahan kebudayaan, muzik tradisional, makanan tempatan dan pelbagai aktiviti yang menonjolkan identiti masyarakat Sabah.

“Kaamatan merupakan antara produk budaya yang mempunyai nilai tinggi dalam industri pelancongan negara dan mampu menarik minat pelawat antarabangsa,” katanya.

Turut berlangsung ialah Program Mega Fam melibatkan 15 pempengaruh dan wakil media dari beberapa negara Asia bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya.

Malaysia merekodkan 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa setakat Mac 2026, meningkat 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.