KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa isu sempadan di Pulau Sebatik dibentang dan dibahas secara menyeluruh dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 27 April ini.
Beliau berkata, laporan bercanggah antara pihak Indonesia dan kenyataan kerajaan negeri Sabah menimbulkan persoalan serius berkaitan kedaulatan dan integriti wilayah negeri.
“Pegawai Indonesia secara terbuka menyebut angka spesifik termasuk 127.3 hektar yang didakwa berada dalam wilayah mereka, sedangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menafikan sebarang pemindahan tanpa memberikan penjelasan terperinci,” katanya dalam satu kenyataan.
Shafie berkata, rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar termasuk apa yang telah dibincangkan, dipersetujui serta sama ada sebarang pendirian telah diambil bagi pihak negeri.
Menurutnya, perkara itu juga telah dibangkitkan dalam sidang Parlimen sebelum ini kerana melibatkan isu kedaulatan, sempadan negeri dan hak perlembagaan Sabah.
Beliau turut mengingatkan bahawa Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sebarang perubahan sempadan negeri mesti mendapat persetujuan DUN serta Majlis Raja-Raja.
“Setakat ini, tiada maklumat bahawa perkara ini pernah dibentang atau dibahaskan di DUN Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri perlu mengambil pendirian jelas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
