KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Datuk Seri Panglima Hajiji Noor membayar “cyber trooper” untuk menyerang pihak tertentu di media sosial.
Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh individu dikenali sebagai Amy Dangin itu tidak berasas dan berniat jahat.
“Ketua Menteri sentiasa fokus kepada agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, bukan terlibat dalam politik sempit menyerang peribadi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan Facebook harı ini.
Azrul turut menafikan tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular sebelum ini yang cuba mengaitkan namanya dengan usaha melemahkan parti politik tertentu.
Menurutnya, perkara itu adalah tidak benar dan merupakan cubaan mencetuskan persepsi negatif serta mengeruhkan suasana politik.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan menghentikan penyebaran fitnah serta maklumat tidak sahih.
