Setiap DUN dapat peruntukan RM2 juta tahun depan – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memberikan peruntukan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM2 juta tahun depan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau berharap dengan peruntukan tambahan itu akan dapat membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengurus serta menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya, semua wakil rakyat perlu sama-sama bekerja, berusaha serta  terus mencurah bakti, ke arah memajukan sekali gus memakmurkan negeri ini.

“Cabaran pada tahun hadapan mengajak kita untuk lebih berhati-hati serta lebih bijaksana dalam mentadbir dan mengurus hal ehwal negeri, apatah lagi dengan ancaman pandemik yang belum berakhir.

“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga negeri bertuah yang tercinta ini kekal aman, makmur dan sejahtera; dijauhi daripada segala wabak, bencana dan marabahaya.

“Bersama-sama kita membina semula ekonomi negeri ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran yang berpanjangan di bawah gagasan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa menggulung untuk Kementerian Kewangan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.