SESB pastikan tiga penjana elektrik baharu di Sandakan siap ikut jadual

SANDAKAN : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sentiasa berusaha untuk memastikan kapasiti bekalan tenaga elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus dipertingkatkan untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Ir. Mohd Yaakob Jaafar berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk mengadakan sewaan terhadap enam generator yang bakal menjana 93 megawatt (MW) tenaga elektrik ke sistem Grid Sabah.

SESB pastikan tiga penjana elektrik baharu di Sandakan siap ikut jadual.

“Hari ini saya telah mengadakan tinjauan untuk melihat sendiri kerja-kerja pemasangan terhadap tiga set generator yang terletak di Sandakan.

“Untuk makluman, pemasangan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Mowtas telah pun siap dan beroperasi sepenuhnya dengan keupayaan menjana sehingga 10 MW tenaga elektrik,” katany dalam satu kenyataan, hari ini

Menurut Yaakob, dua lagi set generator masih dalam proses penyiapan akhir dan dijangka akan beroperasi dalam tempoh terdekat.

“Syukur, ketika berada di PPU Seguntor dan Stesen Janakuasa Labuk, saya melihat semua proses kerja-kerja adalah mengikut jadual seperti yang telah dirancang.

“Apabila siap nanti, generator di PPU Seguntor akan membekalkan 10 MW tenaga elektrik, manakala di Stesen Janakuasa Labuk pula ia membekalkan tenaga berkapasiti 30 MW,” jelas beliau.

Yaakob menambah, tiga lagi set generator sewaan lain adalah terletak di Tawau, Lahad Datu dan Labuan.

“Tambahan penjana elektrik ini akan menjadikan kapasiti bekalan tenaga meningkat kepada lebih 1,300 MW dan seterusnya memberi margin simpanan tenaga lebih selesa kepada Sistem Grid Sabah.

“SESB berharap tiada lagi keperluan untuk melaksanakan catuan bekalan elektrik apabila kesemua set generator ini mula dioperasikan sepenuhnya pada bulan Mei ini,” katanya.