LAHAD DATU: Seramai 166 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Balik ke Negara Asal yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang dihantar melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Daripada jumlah itu, 143 adalah lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.
JIM Sabah memaklumkan semua tahanan yang dihantar pulang telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah.
Sehingga kini, seramai 3,625 tahanan PATI warga asing telah dipindahkan ke negara asal masing-masing termasuk 2,428 warga Filipina dan 70 warga China.
Jabatan itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.
