KOTA KINABALU: Pergolakan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah telah pun dilapor di mesyuarat Biro Politik Pusat (Biropol) pada 24 Mac lalu.
Naib Presiden PKR Awang Husaini Sahari berkata, Biropol tidak ada membuat sebarang tindakan dan kedudukan Datuk Sangkar Rasam selaku Pengerusi MPN Negeri Sabah adalah kekal.
Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR akan mengadakan konsultasi dengan semua Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah selepas Hari Raya ini untuk mencari formula terbaik mengatasi pergolakan ini.
Menurutnya, pergolakan kepimpinan MPN Negeri Sabah tercetus apabila dikatakan terdapat 15 Ketua-Ketua Cabang dari 26 Cabang di Sabah telah menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD) hilang kepercayaan kepada Datuk Sangkar Rasam selaku Pengerusi MPN.
“Adalah dipercayai 15 SD ini telah disampaikan kepada Presiden parti, kemuncak kemelut ini berlaku pada mesyuarat MPN pada 18 Mac yang lalu apabila Ketua Cabang Tuaran secara terbuka telah meminta Datuk Sangkar mengundur diri.
“Rasam telah bertegas untuk tidak meletak jawatan dan akan meneruskan tugas beliau selaku Pengerusi MPN sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Presiden Parti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Awang Husaini berkata, dari segi perlembagaan, perlantikan Pengerusi MPN Negeri adalah kuasa prerogatif Presiden parti setelah berbincang dengan semua Ketua-Ketua Cabang.
Menurutnya, penolakan ketua-ketua cabang terhadap perlantikan ini samada melalui SD atau pun meja mesyuarat MPN tidak mampu untuk menggugat kesahihan Pengerusi yang telah dilantik oleh Presiden.
“Dengan kata lain, tanpa tindakan terbaru dari Presiden Parti, kedudukan Datuk Sangkar selaku Pengerusi MPN tidak terjejas dengan segala bentuk gerakan yang beliau hadapi.
“Walaupun begitu, jika angka 15 SD oleh ketua2 cabang ini adalah sahih dan konsistent, ianya merupakan satu element yang tidak baik bagi Datuk Sangkar untuk terus memimpin PKR negeri. Angka 15 ini merupakan lebih separuh dari 26 jumlah Ketua-Ketua cabang di Sabah.
“Tanpa arahan dan kawalan kepimpinan, beliau tentunya sukar untuk membuat keputusan secara konsensus, apatah lagi untuk memberi arahan kepada hala tuju organisasi politik besar yang beliau pimpin,” katanya.
Beliau berkata, Sabah akan menghadapi pilihanraya negeri (PRN) 17 pada bila-bila masa sebelum September 2025 yang memerlukan organisasi MPN perlu diperkasa ketahap optima.
Tegasnya, PRN Sabah ini adalah yang pertama sejak PH pimpinan Datuk Seri Anwar mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada November 2022 lalu.
“PRN Sabah ini samada PH bertanding bersendirian ataupun bekerjasama dengan parti lain bukan saja matlamat utama, tetapi kemenangan ini adalah satu moral obligasi kepada kedudukan kerajaan persekutuan pimpinan Anwar.
“Saya yakin Presiden parti akan meneliti pergolakan ini dari setiap sudut. Faktor kepentingan parti dan persediaaan PKR Sabah dalam menghadapi PRN negeri tentunya akan menjadi perkiraan utama.
“Tambahan lagi, PKR selaku parti yang menerajui PH Sabah akan memainkan peranan yang amat penting untuk mempastikan PH kekal relevant dalam arus politik Sabah dan negara,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada ketua-ketua cabang dan seluruh ahli PKR Sabah agar bersabar dan mengelakkan penglibatan media secara terbuka bagi memberikan ruang yang secukupnya kepada Presiden untuk mencari formula terbaik menyelesaikan pergolakan kepimpinan MPN Sabah ini.
Katanya, apapun keputusan Presiden, ahli-ahli PKR perlu terbuka dan berjiwa besar untuk bersatu segera demi kepentingan parti.