500 pelajar di Labuan sertai Program Rakan Muda Ramadan

LABUAN: Seramai 500 pelajar sekolah menengah dan tahfiz menyertai Program Rakan Muda Ramadan di Masjid Jamek  An Nur, di sini, semalam.

Program yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan dengan kerjasama Majlis Belia Labuan (MBL)  itu telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapha.

500 pelajar di Labuan sertai Program Rakan Muda Ramadan.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Program Rakan Bumi, MySave Food Ramadan.

Pelbagai aktiviti telah dilangsungkan antaranya Tadarus dan Khatam Al-Quran, Hafazan Al-Quran,  bercerita sirah Nabi Muhammad S.A.W., Tazkirah Ramadan  ldan seterusnya majlis Iftar bersama peserta rakan muda.

Dr Zaliha ketika berucap pada majlis itu  berkata, program Rakan Muda Ramadan merupakan antara platform terbaik untuk menarik  minat anak muda dalam menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian pelbagai aktiviti kerohanian disamping mengeratkan ukhuwwah dan persaudaraan dalam kalangan belia dari pelbagai latar belakang.

“Tahniah saya ucapkan kepada golongan belia Labuan kerana memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan yang mulia ini dengan menyertai program-program yang disediakan oleh Kerajaan Madani,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mahanum Fauzi dan Presiden Majlis Belia Labuan Nazera Roslan.