Seorang Lelaki Warga Emas Meninggal Dunia, 8 Penumpang Cedera

LAHAD DATU : Seorang lelaki warga emas meninggal dunia manakala lapan lagi penumpang cedera selepas van mereka naiki terbabas sendiri di Jalan Bukit Ular Kunak-Lahad Datu, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kunak, Penolong Pegawai Bomba Mohamad Omarbatha berkata, mangsa terbabit dikenal pasti berumur 74 tahun disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mangsa dipercayai tersepit berjaya dikeluarkan Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas (Hydraulic Power Unit) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Lapan orang mangsa cedera ini terdiri daripada empat wanita serta empat lelaki masing-masing berumur antara 46 hingga 75 tahun.

“Kesemua mereka diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan KKM seterusnya dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.19 pagi tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba bersama enam anggota diketuai PBKI Mohd Ridzuan Shahidun berjaya mengeluarkan semua mangsa terlibat.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan kemalangan operasi kemudiannya ditamatkan pada 9.09 pagi tadi,” jelas Mohamad.