SEMPORNA : Regatta Lepa Semporna, pesta tradisional ikonik suku kaum Bajau serta tarikan pelancongan tahunan utama bagi negeri ini, telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sabah tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, lebih istimewa kini pesta ini memasuki kali ke-30 tahun penganjurannya pesta sekali gus membuktikan keteguhan komitmen masyarakat Semporna dalam memartabatkan warisan budaya mereka.
“Dengan penyenaraian pesta ini dalam kalendar pelancongan, diharapkan acara ini akan mencapai tahap baharu dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang dan merasai kemeriahannya.
““Menerusi Regatta Lepa, kita dapat memperkenalkan keindahan budaya masyarakat Bajau dan usaha pemeliharaan warisan maritim kepada para pelancong dari seluruh dunia,” katanya.
Teks Ucapannya disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Hajiji berkata, Regatta Lepa tahun ini akan menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan lepa tradisi, pengibaran Sambulayang, penobatan Ratu Lepa dan penganugerahan Tokoh Regatta Lepa.
“Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran acara Igalthon yang menyaksikan persembahan tarian tradisional Bajau dikenali sebagai Igal-Igal berlangsung selama satu jam tanpa henti melibatkan penari-penari dari pelbagai kumpulan budaya dan komuniti.
“Acara ini telah dimasukkan kedalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan tarian Igal-Igal terpanjang pada 21 Jun lalu,” jelas Hajiji.
Menurutnya, usaha memartabakan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini merupakan salah satu elemen utama yang menjadikannya produk pelancongan yang popular.
“Ini kerana Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya.
“Rakyat Sabah terdiri daripada 35 kumpulan etnik yang masing-masing mempunyai budaya, bahasa dan perayaan tersendiri, namun masih mampu hidup secara harmoni dan bertoleransi antara satu sama lain,” katanya.
Hajiji berkata, Ini menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan, sama ada bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.