Media Diminta Jalankan Tugas Penuh Integriti, Berprinsip, Bertanggungjawab – Hajiji

KOTA KINABALU : Pengamal media menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kejayaan dan infomasi pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan ini turut bergantung kepada peranan penting media dalam menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada rakyat.

“Sebagai pihak yang mempunyai jalinan kerjasama serta hubungan erat dengan pihak Kerajaan, media turut berfungsi dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar pembangunan Kerajaan Negeri khususnya di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.

“Justeru, saya berharap kerjasama strategik ini terus dipertingkatkan dan hubungan baik antara kita semua diperkukuhkan untuk membantu Kerajaan menyebarluaskan maklumat penting kepada rakyat berkaitan agenda pembangunan dan hala tuju Kerajaan Negeri,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, laporan media juga membantu kerajaan mengetahui perkara yang berlaku di peringkat
akar umbi serta rintihan rakyat.

“Sudah tentunya, Kerajaan sentiasa mengalu-alukan laporan dan liputan seperti ini daripada pengamal media – sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan dan rakyat.

“Kita berharap agar media sentiasa memainkan peranan penting sebagai penyedia maklumat yang dipercayai, penyampai berita sahih dan juga platform untuk memperoleh info yang lebih cepat dan tepat kepada masyarakat,” jelas Hajiji.

Menurutnya, Kinabalu Press Awards yang dianjurkan Persatuan Wartawan Sabah dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan penaja lain adalah untuk mengiktiraf dan menghargai komitmen serta keupayaan para pengamal media di negeri ini.

“Majlis ini juga mampu menjadi platform terbaik bagi mendorong para pengamal media untuk lebih bersemangat, fokus dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan yang lebih telus serta beretika.

“Kerajaan tidak pernah mengabaikan peranan penting media dalam masyarakat dengan memberikan sokongan berterusan kepada program seperti Majlis KPA ini melalui sumbangan dari segi tajaan kewangan,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menghargai serta memahami keperluan ini, malah bantuan tajaan juga meningkat setiap tahun.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, teruskan usaha cemerlang dan jadikan kejayaan ini.

“Sudah itu ia dapat dilihata sebagai pemangkin untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui laporan berita yang berwibawa dan beretika,” katanya.