KOTA KINABALU : Seorang lelaki ditemukan rentung manakala seorang warga emas cedera dalam kejadian kebakaran membabitkan lapan rumah di Kampung Kalansanan Inanam, di sini, malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Lizalman Abu berkata, mayat rentung dikenal pasti berusia 39 tahun ditemukan berhampiran stor rumah pertama oleh pasukan operasi pada jam 8.20 malam.
Katanya, seorang lagi lelaki warga emas berusia 78 tahun dilaporkan cedera selepas terjatuh ketika terjun dari rumah untuk menyelamatkan diri kemudiannya dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Pihak Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 petang bersama 40 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dibantu Kota Kinabalu dan Penampang bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, pasukan bomba mendapati beberapa rumah sudah musnah terbakar dan operasi pemadaman terus dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Lizalman berkata, pihaknya menemukan mayat mangsa rentung terbabit berdekatan stor rumah kemudiannya dibawa keluar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini pihak Bomba masih menjalankan siasatan berkaitan punca kejadian serta nilai kerugian akibat kebakaran ini.
“Selepas memastikan kawasan lokasi kejadian selamat, operasi sepenuhnya ditamatkan pada jam 1 pagi malam tadi,” jelas Lizalman.