SDBank kini diletakkan dibawah Ketua Menteri dan penyeliaan Kementerian Kewangan Negeri

KOTA KINABALU: Bank Pembangunan Sabah (SDBank) kini diletakkan dibawah bidang kuasa Ketua Menteri dan diselia secara langsung oleh Kementerian Kewangan negeri.

Sebelum ini bank berkenaan berada di bawah penguasaan Sabah Development Berhad.

Perkembangan baharu itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerusi satu kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, langkah itu adalah sebahagian pendekatan yang diluluskan Kabinet negeri bagi mengukuhkan sokongan Kerajaan Negeri terhadap SDBank.

“Langkah ini menegaskan semula komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong penuh SDBank dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan dan memenuhi keinginan pertumbuhannya.

“Keinginan yang dimandatkan untuk bergerak ke hadapan adalah untuk SDBank menumpukan perhatian kepada makna sosial dan ekonomi serta projek pembangunan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, ahli lembaga yang baharu sudah diwujudkan untuk memandu SDBank ke arah hala tuju yang strategik dengan diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang.

Ahli lembaganya ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Patricia Ubing (Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif), Datuk Vincent Pung, Dr Dionysia Kibat dan Datuk Brenndon Keith Soh.

Hajiji berkata, SDBank juga akan meneroka rakan strategik dengan institusi kewangan pembangunan yang lain (DFI) bagi membiayai projek pembangunam yang disasarkan di Sabah.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melihat SDBank sebagai kunci dalam menyokong teras strategik negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam mempromosi dan melaksanakan projek pembangunan demi kepentingan negeri ini.