Pelancong China yakin tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah

LAHAD DATU: Pelancong China yang datang ke negeri Sabah khasnya ke Pantai Timur Sabah berpuashati dengan tahap keselamatan di  kawasan itu.

Ini dinyatakan oleh Konsulate Jeneral Republik of China di Kota Kinabalu, Huang Shifang ketika melakukan lawatan singkat ke Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), semalam.

“Tiada keraguan lagi mengenai keadaan keselamatan di pantai timur Sabah, semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau yang dalam rangka lawatan sehari ke Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu telah meluangkan masa melakukan kunjungan hormat ke atas  Komander ESSCOM DCP Victor Sanjos.

Huang turut menyambut baik kejayaan ESSCOM melaksanakan tugasnya menjaga keselamatan, sekaligus memberikan keyakinan kepada semua pihak termasuk pelancong dari China dan pelabur asing untuk melabur atau berkunjung ke negeri ini.

“Sebab itulah saya datang ke sini untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan ESSCOM memastikan kawasan pantai timur sentiasa berada dalam keadaan aman dan selamat, dan ini memberikan keyakinan kepada semua warga China yang datang ke negeri ini,” katanya.

Huang berharap agar hubungan dan komunikasi dua hala antara Pejabat Konsulate Republik of China dan ESSCOM dapat diperkukuhkan melalui kunjungan tersebut.

Sementara itu, DCP Victor Sanjos dalam ucapan balasnya memberi jaminan bahawa ESSCOM dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada PDRM, ATM dan APMM akan setiasa mengutamakan keselamatan para pelancong yang berkunjung ke pantai timur Sabah.

Beliau berkata  ESSCOM akan  mengadakan jalinan kerjasama strategik antara ESSCOM dengan agensi lain, termasuk Kementerian Pelancongan dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Kata ini bagi mewujudkan satu data pergerakan pelancong bagi memudahkan ESSCOM dan pasukan keselamatan lain memantau pergerakan dan keberadaan mereka di sesuatu tempat supaya bantuan keselamatan dapat diberikan secepat mungkin sekiranya berlaku kes-kes kecemasan atau luar jangka yang memerlukan tindakan pantas pasukan keselamatan.

ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan sentiasa siap siaga dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan ESSZone daripada sebarang ancaman luar yang cuba mengganggu gugat ketenteraman pantai timur Sabah.