KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe hari ini melawat sebuah tadika dekat Lido yang menjadi tumpuan setelah rakaman video seorang kanak-kanak dikasari oleh seorang penjaga di taska itu tular di media sosial.
Phoong merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang singgah di tadika tersebut sebelum beliau pergi untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pagi tadi.
“Pada pagi tadi, sebelum ke Sidang Dewan Undangan Negeri, saya sempat turun ke tempat kejadian tersebut dan bertemu dengan pengusaha tadika Cik Leong. Diiringi oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom dan Asisten Komisioner Khairul dari Bahagian Siasatan Jenayah.
“Saya telah diberi taklimat oleh pihak polis dan difahamkan bahawa tiga laporan polis telah dilaporkan dan dua kertas siasatan dibuka.
“Suspek iaitu penjaga tersebut telah ditahan oleh polis dan kini dalam proses permohonan mahkamah untuk terus direman,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut beliau, ada juga kecederaan berlaku kepada pengusaha dan penjaga kerana dipercayai emosi ibubapa kepada mangsa yang marah selepas melihat rakaman video dari Kamera Litar Tertutup (CCTV) itu.
Tadika tersebut telah beroperasi sejak tahun 2007 lagi, katanya, sambil menambah, ini merupakan kejadian paling serius buat tadika dan pengusaha sejak penubuhan.
“Siasatan yang menyeluruh masih dijalankan.Semoga kanak-kanak mangsa tersebut dalam keadaan pulih dan cepat sembuh. Saya akan terus mengikuti keadaan terkini dan perkembangan siasatan,” katanya.
Mengulas tentang video yang tular itu, Phoong berkata, video and kejadian tersebut telah dibawa ke perhatiannya semalam.
“Saya telah hubungi Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd. Zaidi semalam berhubung kes tersebut. Beliau telah berkongsi dengan saya berkenaan tindakan pihak polis telahpun diambil,” kata Phoong.