BATANG KALI (Selangor): Pengundi muda diminta menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri esok sebagai satu ukuran baru dengan tidak mengulangi kesilapan pada PRN lalu dalam memilih Kerajaan Negeri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata kesilapan memilih kerajaan negeri akan membawa kemudaratan, keresahan, ketidaksimbangan.
“Untuk memastikan keseimbangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.. maka pengundi muda harus mengundi calon-calon mewakili Kerajaan Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH) pada PRN ini .
“Ini disebabkan kalau Kerajaan Negeri itu selari dengan Kerajaan Persekutuan maka mudahlah untuk berbincang untuk membangunkan negeri itu,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum di Pentas Terbuka Anak Muda di sini, malam tadi.
Hadir sama calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kasim, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Rafi Ali Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata contoh sekarang tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan…berat untuk Kerajaan Persekutuan untuk memberi pertolongan secara total (keseluruhan) disebabkan mereka tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Jadi perlu ada kesamaaan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan maka apabila ada kesamaan maka kestabilan politik itu wujud, pembangunan ekonomi meningkat dan rakyat akan dapat dipelihara dan dijamin masa depan mereka,” katanya sambil menambah, penting untuk anak-anak muda memutuskan masa depan pada esok dengan memilih calon mewakili dari Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yakin dengan peluang tinggi calon BN dan PH bukan hanya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tetapi juga di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Kita punya potensi tinggi untuk BN dan PH memerintah semula di negeri Kedah..ini pada saya ekoran daripada tidak tanduk pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang tidak konsisten..berhujah menggunakan kata-kata kesat dan menjadi musuh kepada semua orang yang tidak sehaluan dengan mereka.
“Pada saya ini peluang terbaik harus diguna pakai oleh pemimpin BN dan PH untuk mencapai kesepakatan dan sama-sama mendokong pada hujung tempoh kempen PRN ini mengeluarkan seberapa ramai pengundi dibawa jagaan masing masing keluar mengundi.
“Sebab ini penting, kalau ceramah kita ramai akhirnya jumlah pengundi itu kurang keluar mengundi pada saya itu bukan satu strategi yang baik..jadi ini yang saya selalu minta semua jentera pastikan semua pengundi di bawah jagaan masing masing keluar mengundi dan mengundi calon-calon kita,” tegasnya.
Kerusi DUN Batang Kali sebelum ini pernah diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya, Harumaini Omar gagal hadir tanpa kebenaran semasa persidangan dewan DUN Selangor melebihi enam bulan sejak 28 Julai tahun lalu.
Kerusi itu pernah dimenangi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 8,315 undi.
Harumaini memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang diperolehi calon BN Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.