KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak akan mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, walaupun diasak dengan pelbagai tuntutan dan tuduhan.
Sebagai Perdana Menteri, beliau menegaskan akan menjalankan tugas dan segala kewajipan dengan jujur dan amanah, termasuk menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara.
“Saya telah dituduh menderhaka kepada raja, sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara, serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, disiarkan dalam portal Berita Harian hari ini.
Perutusan Khas itu susulan keputusan UMNO untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri serta Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetus persoalan sama ada kerajaan sedia ada masih kekal memerintah.