Kenyataan Warisan sokong PN secara en-bloc palsu

KOTA KINABALU: Selepas Pejuang menafikan dakwaan palsu menyokong Tan Sri Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kini satu lagi kenyataan muncul di media sosial membabitkan Warisan yang didakwa menyokong kerajaan Perikatan Nasional secara en-bloc.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menegaskan kenyataan itu adalah palsu.

Kenyataan bertarikh 3 Ogos tanpa tandatangan itu menyatakan presiden parti Shafie Apdal membuat ketetapan menyokong kerajaan PN demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Warisan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai situasi politik semasa pada petang tadi. Perkara yang dibincangkan meliputi kes Covid-19, vaksinasi, penarikan diri Umno daripada kerajaan dan kestabilan politik dalam Malaysia.

“Antara perkara paling utama yang dibangkitkan di dalam mesyuarat pada petang tadi (semalam) adalah pengumuman penarikan diri 12 Ahli Parlimen Umno daripada menyokong kerajaan PN dan jumlah sokongan Ahli Parlimen kepada kerajaan,” menurut kandungan kenyataan yang tersebar itu.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri menjadi persoalan apabila Umno semalam membuat ketetapan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selain keputusan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan serta-merta.

Pergolakan politik tanah air terus memuncak apabila sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen difahamkan menghantar akuan menarik sokongan terhadap perdana menteri untuk diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, Ahli Parlimen berkenaan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Ahmad Maslan (Pontian) yang juga Setiausaha Agung Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Najib Razak (Pekan), Azalina Othman Said (Pengerang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Noh Omar (Tanjung Karang).

Ahli Parlimen lain adalah Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).