“Saya masih kekal ADUN Bebas mesra kepada GRS,” – Masiung

TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah masih belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik tempatan serta nasional di negeri ini.

Beliau mendakwa terdapat beberapa tawaran jawatan sehingga ke peringkat Timbalan Presiden serta Naib Presiden namun mengesahkan masih berstatus ADUN bebas mersa kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya masih belum mengambil keputusan atau terbuka untuk menyerati mana-mana parti politik meskipun dikaitkan dengan sebuah penubuhan baharu di negeri ini.

“Bila tiba masanya, saya akan umumkan mana parti yang akan disertai selari dengan pendirian untuk sama-sama berbakti kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat ADUN Kuamut di Dewan Majlis Daerah Tongod, di sini hari ini.

Masiung sebelum ini dikaitkan kononnya bakal menyertai sebuah parti tempatan selain turut dikhabarkan akan menyertai parti nasional pro kepada kerajaan.

“Setakat ini saya masih ADUN Bebas yang menyokong kerajaan

dan belum berminat menyertai mana-mana parti sebagai platform politik buat masa ini.

“Saya tidak akan mengambil keputusan secara tergesa-gesa, melainkan selepas membuat pendekatan untuk kebaikan di masa depan serta rakyat yang diwakili,” katanya.