LAHAD DATU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Sabah.
Ketibaannya di sambut Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan bersama barisan kepimpinan PAS di Balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Ketika dihubungi, Dr Aliakbar mengharapkan, dengan lawatan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Pelbagai program kebajikan bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disusun sepanjang kunjungan menteri, jadi ini juga merupakan satu manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau melihat, lawatan ini merupakan petanda baik kerajaan persekutuan tidak pernah melupakan rakyat Sabah dalam apa juga agenda pembangunan khususnya berkaitan hal ehwal agama dan juga masalah rakyat di negeri.
“Ini menandakan bahawa menteri daripada PAS tidak pernah meminggirkan rakyat di negeri ini.
“Kita lihat program di susun sepanjang berada di Sabah selama empat hari merupakan program menyantuni serta membantu rakyat bersama pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Jadi ini merupakan empat perkara yakin boleh menjadi agenda besar serta inilah dapat merealisasikan semangat Keluarga Malaysia tanpa ada sebarang prejudis terhadap mana wilayah dalam negeri Sabah,” katanya.