‘Saya Buat Permohonan Tanah Atas Permintaan Penduduk Nabawan’ – Abdul Ghani

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin menjelaskan, beliau membuat permohonan tanah seluas 320 ekar itu atas permintaan penduduk Nabawan.

Beliau berkata demikian selepas isu tersebut dibangkitkan oleh ADUN Merotai, Sharifuddin Hata semasa sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.

“Saya merasa terpanggil untuk memberikan pencerahan mengenai permohonan tanah bil. 20- 23150247 seluas 320 ekar atas nama Abd. Ghani Mohd. Yassin.

“Untuk makluman semua ahli Dewan, kawasan yang dipohon terletak di Daerah Nabawan. Kawasan tersebut dulu adalah berada di bawah Hutan Simpan Pensiangan Kelas II yang telah dibubarkan yang kini telah di wartakan sebagai Tanah Kerajaan Tatalaan.

“Pemimpin masyarakat dapati banyak permohonan daripada orang-orang luar Daerah Nabawan dan syarikat-syarikat daripada luar sangat berminat untuk memohon tanah tersebut khususnya Temporary Operating Licence (TOL) untuk membalak. 

“Untuk makluman, hampir semua kawasan membalak dengan syarat TOL adalah sebelum September 2020,” katanya.

Menurutnya, beberapa lagi penduduk kampung lain tidak mahu tanah ini jatuh ke tangan orang luar dan syarikat-syarikat luar.

“Oleh itu mereka merancang untuk terlebih dulu memohon kawasan tersebut dengan tujuan menubuhkan koperasi untuk projek ternakan dengan usahasama bersama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB). 

“Cuma masalahnya adalah, koperasi dalam peringkat pemprosesan permohonan dan pemimpin masyarakat di kawasan tersebut tidak yakin dan amat khuatir tidak dapat bersaing dengan individu-individu dan syarikat yang mempunyai kemampuan dan sumber yang luar biasa.

“Oleh kerana itu, mereka telah berjumpa dan merayu kepada saya agar kalau boleh permohonan ini dibuat atas nama saya bersifat sementara dan dengan syarat pemilikan tanah tersebut akan diserahkan semula kepada mereka yang terlibat dalam perancangan penubuhan koperasi juga sedang diusahakan dengan perancangan yang dicadangkan,” katanya.

Katanya, setelah membuat pertimbangan, saya setuju dengan cadangan pemimpin masyarakat ini dengan memikirkan, sekiranya permohonan dibuat atas nama saya maka pastilah individu-individu dan syarikat-syarikat berkenaan tidak akan meneruskan memohon kawasan tersebut. 

“Pemimpin masyarakat juga beranggapan bahawa menggunakan nama saya adalah merupakan benteng pertahanan sahaja untuk menghalang permohonan individu-individu dan syarikat-syarikat tersebut,” katanya.

Katanya, selepas mendengar penjelasan dan rayuan mereka, maka saya secara ikhlas pun bersetuju tetapi dengan bersyarat. 

“Sekiranya ada isu-isu negatif yang muncul kerana ini, maka mereka hendaklah bersedia untuk memberikan penjelasan. 

“Perkara ini juga sepatutnya tidak dipolitikkan demi kepentingan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, integriti dan ketelusan dalam prosedur permohonan tanah ini juga dapat dinilai kerana tidak melanggar dan menggangu prosedur Jabatan Tanah dan Ukur dan Pegawai Pemungut Hasil Tanah (PPHT) untuk mengemukakan dan membentangkan Notis

Permohonan Tanah Kerajaan, seksyen 13 dimana ianya di kemukakan kepada umum mengenai permohonan tanah ini. 

“Apabila sampai masanya nanti, saya akan menarik diri, menyerahkan dan perkara ini boleh diteruskan dan diberi milik kepada koperasi yang dicadang itu dan berasal dari Daerah Nabawan.

“Saya ingin nyatakan dalam dewan yang mulia ini, kalau saya pemimpin yang ambil kesempatan, sejak saya jadi Ketua Bahagian Umno dulu sdh banyak peluang yang boleh saya gunakan tapi sya bukan pemimpin yang peralatkan kedudukan saya untuk kepentingan peribadi,” tegas Abdul Ghani yang juga Pengerusi SLDB.