KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mampu meneruskan kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), walaupun berdepan undi percaya di Parlimen, bulan depan.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata beliau percaya Muhyiddin mampu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, apabila usul undi percaya itu dibentangkan di Dewan Rakyat sejurus persidangan Parlimen bermula.
“Kita seharusnya kagum dengan cara Muhyiddin yang tenang dan tidak goyah menangani cabaran politik yang dilemparkan terhadapnya.
“Inilah sepasang tangan mantap dan pasukan kuat yang sangat diperlukan negara dalam tempoh yang kritikal seperti sekarang,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Mengulas lanjut, Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata undi percaya bagi menentukan sokongan majoriti Perdana Menteri adalah perkara yang paling tepat untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Perlembagaan dan demokrasi berparlimen dalam sistem raja berperlembagaan.
“Ia juga cara paling berkesan untuk memuktamadkan budaya politik tidak berkesudahan yang menyebabkan banyak kesusahan dan kekecewaan kepada rakyat.
“Rakyat mahu melihat suara hingar-bingar mahu menjadi Perdana Menteri dihentikan dan benarkan Perdana Menteri (Muhyiddin) serta kerajaannya melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, dengan proses vaksinasi yang semakin rancak, negara kini di landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok dan membuka semula ekonomi dalam masa beberapa bulan lagi.
Secara sinis, Teck Lee berkata, mungkin situasi itu yang ditakuti pembangkang dan ahli politik yang terdesak kerana pandemik COVID-19 akan berakhir tidak lama lagi, manakala ekonomi akan kembali pulih.
“Kita perlu ingat bahawa Pakatan Harapan (PH) yang mensia-siakan mandat rakyat kepada mereka dengan menjerumuskan diri dalam perebutan kuasa yang kemudian menjatuhkan kerajaan mereka sendiri.
“PH melakukan bunuh diri politik pada Februari 2020 apabila Perdana Menteri PH meletak jawatan selepas perebutan kuasa dalaman yang berpanjangan dalam pakatan berkenaan,” katanya.
SAPP adalah parti tempatan Sabah yang diterima menjadi komponen PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.