JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, tiba di mahkamah pada jam 8.58 pagi dengan diiringi peguam bela, Gobind Singh Deo.
Syed Saddiq yang kini ialah Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), sebelum ini memegang jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), laporan Berita Harian hari ini.
Terdahulu, beberapa individu dipercayai penyokong dan ahli keluarga Syed Saddiq termasuk ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dilihat hadir di lobi mahkamah.
Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah dana ARMADA berjumlah RM1 juta pada tahun lalu.
Selain itu, beliau berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.
Syed Saddiq, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.