MEMBAKUT : Sambutan perayaan pelbagai kaum merupakan wadah untuk menjalinkan muafakat, keharmonian serta perpaduan masyarakat di negeri ini.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya menekankan selain aspek pembangunan daerah penuh Membakut, perpaduan serta keharmonian menjadi keutamaan dalam kepimpinan kerajaan hari ini.

Katanya, di kawasan Membakut juga terdapat masyarakat Tiong Hua sekali gus hidup dalam keadaan penuh harmoni.
“Kita raikan apa-apa perayaan dianjurkan masyarakat berbagai kaum. Sebelum ini kita meraikan Krismas, hari ini kita di ambang Tahun Baru Cina.

“Bulan depan kita akan berdepan dengan Ramadan dan Aidilfitri. Selepas itu, kembali ke Pesta Kaamatan dan berbagai program yang akan kita anjurkan di Membakut,” katanya di sini semalam.
Mohd Arifin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, mengikut kalender 2025 terdapat pelbagai perayaan diraikan oleh pelbagai kaum khususnya di daerah Membakut.
“Kita sudah menjadi satu daerah penuh Membakut dan Bongawan dan kita juga akan memastikan pembangunan akan menjadi sebahagian daripada daerah ini.

“Seperti mana biasa apabila ada perayaan, kita akan menyampaikan sumbangan untuk rumah ibadat mereka atau persatuan kebudayaan masing-masing,” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya juga menyalurkan sumbangan kepada semua gereja serta semua pimpinan agama Kristian di daerah Membakut.

“Menjelang Tahun Baharu Cina dan akan datang bulan Ramadan kita akan memberikan sumbangan kepada masjid serta surau di kawasan ini,” kata Mohd Arifin.
