KOTA KINABALU : Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H Istana Seri Kinabalu berlangsung meriah di sini hari ini.
Ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin kira-kira jam 10.30 disambut, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Majlis bermula dengan bacaan doa dipimpin Pegawai Agama Istana, Zulfauzy Awang Besar sebelum tetamu jemputan menikmati pelbagai aneka juadah Hari Raya.
Hadir sama, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Seri Noraini Salleh, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, jemaah menteri kabinet negeri serta konsul-konsul negara asing.
Pada majlis itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan rangkaian lagu Hari Raya Aidilfitri yang dipersembahkan Kombo Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Inspektor Wilbono Zain.