SEMPORNA : Kelewatan pembinaan sebuah Masjid Baharu Semporna menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penduduknya meskipun ia sudah diluluskan sejak dahulu lagi.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kos projek pembinaan masjid ini bernilai jutaan ringgit diluluskan ketika beliau menjadi Ketua Menteri, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, beliau melahirkan perasaan bimbang mengenai kelewatan projek ini sekali gus ingin bertanya tentang status dana yang telah diperuntukkan bagi tujuan pembinaannya.
“Sepatutnya projek ini sudah berjalan…Tetapi sehingga kini saya masih belum mendapat maklumat berkaitan status terkini peekembangan pembinaan Masjid Baharu di daerah Semporna ini.
“Dalam masa sama, saya pun tidak tahu ke mana perginya dana ini berikutan penduduk daerah ini memerlukan sebuah lagi masjid baharu di kawasan berdekatan pekan bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai ketika ini,” katanya di sini hari ini.
Mohd Shafie merupakan Presiden Warisan berkata, keperluan untuk menyegerakan pembinaan masjid ini penting bagi memastikan masyarakat Islam di kawasan Semporna mempunyai tempat ibadat selesa serta kondusif.
“Kita mengingatkan agar perancangan pembangunan keperluan rakyat di kawasan Semporna sepatutnya tidak terhenti akibat perubahan kepimpinan.
“Kita tidak mahu umat Islam terpaksa menunaikan solat di atas jalan raya, di pinggir jalan seperti mana berlaku ketika menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri pada hari ini. Kita perlu pastikan perancangan ini tidak diabaikan,” jelas Mohd Shafie.
Menurutnya, beliau menyeru semua pihak agar memberikan komitmen penuh terhadap usaha membina kemudahan ibadat bagi manfaat masyarakat setempat sekali gus selari dengan ajaran Islam menitikberatkan kepentingan ibadah.
“Fungsi masjid bukan sahaja sebagai tempat solat, malah boleh dijadikan pusat pembelajaran seperti tahfiz al-Quran. Tidak semestinya pembinaan bangunan berasingan untuk pusat tahfiz, sebaliknya masjid sedia ada boleh dimanfaatkan dengan pengurusan yang baik.
“Kadang-kadang kita lihat ada masjid tidak digunakan sepenuhnya….Kenapa tidak kita jadikan ia tempat pembelajaran tahfiz? Tidak perlu membina banyak bangunan jika kita dapat menguruskan masjid dengan sebaiknya bersama masyarakat setempat,” kata Mohd Shafie.