SEMPORNA : Kerajaan negeri perlu menyelesaikan segera masalah isu bekalan air yang berpanjangan berlaku di sekitar Pulau Bum-Bum serta beberapa pulau lain di seluruh Sabah.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, masalah ini memberikan kesan besar kepada kehidupan seharian penduduk termasuk bangunan sekolah serta kemudahan kesihatan di Pulau Bum-Bum.
Katanya, Pulau Bum Bum merupakan sebuah pulau yang besar mempunyai lebih daripada 10 sekolah rendah serta sebuah sekolah menengah termasuk sebuah klinik desa.
“Apa yng mendukacitakan, bekalan air di kawasan pulau ini masih tidak mencukupi dan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Situasi ini tidak hanya berlaku di Pulau Bum Bum, malah turut melibatkan Pulau Banggi dan Pulau Gaya.
“Semasa saya menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, kita memperuntukkan hampir RM8 juta untuk memastikan bekalan air sampai ke rumah-rumah di kawasan Pulau Gaya,” katanya di sini hari ini.
Mihd Shafie merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, namun malangnya bekalan air tersebut hanya sampai ke kawasan pusat peranginan di kawasan terbabit serta bukan ke rumah penduduk Kampung Pulau Gaya.
“Kita turut membangkitkan isu konsesi bekalan air perlu ditamatkan sekali gus dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Kita membelanjakan ratusan juta ringgit untuk masalah air ini….Tetapi ke mana perginya semua itu? Semasa saya menjadi Ketua Menteri, saya menghapuskan konsesi ini kerana kita ada jabatan yang bertanggungjawab.
“Mengapa kita perlu bergantung kepada syarikat swasta sedangkan jabatan yang ada boleh melaksanakannya sendiri? “ jelas Mohd Shafie.
Menurutnya, beliau juga menyeru agar semua pihak agar tidak hanya menyalahkan kerajaan pusat dalam isu ini, sebaliknya melihat bagaimana kerajaan negeri menguruskan peruntukan yang ada.
“Apa yang penting adalah rakyat. Jangan biarkan mereka terus menghadapi kesulitan memperoleh bekalan bekalan air bersih.
“Ini bukan sahaja tentang keperluan asas, tetapi juga melibatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan generasi akan datang, jelas Mohd Shafie.
Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan segera mencari jalan penyelesaian bagi memastikan bekalan air yang mencukupi dapat dinikmati penduduk di Pulau Bum Bum serta pulau lain yang terjejas,” katanya.