TUARAN : Seorang lelaki maut, manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Nouga, Jalan Tenghilan Tuaran, di sni semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.33 petang kemudiannya bergegas ke lokasi sejauh 17 kilometer sekali gus tiba 3.53 petang.
Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza, Viva, dan Mitsubishi Triton.
“Terdapat 11 mangsa terlibat. Lima mangsa dari Mitsubishi Triton mengalami kecederaan namun berjaya keluar sendiri, manakala lima mangsa dari Perodua Axia tidak mengalami kecederaan.
“Seorang mangsa lelaki berusia 20 tahun tersepit dalam Perodua Bezza berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4:55 petang semalam selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat sebelum kembali ke balai,” kata Mohamad.