PUTATAN : Sikap saling menghormati dan memahami merupakan asas dalam usaha memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Menurutnya nilai-nilai murni tersebut perlu disuburkan lagi dari semasa ke semasa menerusi sambutan perayaan pelbagai kaum khususnya di negeri ini.
“Saya baru saja menghadiri majlis sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran komuniti Rukun Tetangga Taman Pantai Lok Kawi tetapi disertai oleh masyarakat pelbagai kaum iaitu Melayu, KadazanDusun Murut dan Tiong Hua sendiri.
“Ini membuktikan bahawa kepelbagaian kaum di negeri kita ini memang kukuh dan perpaduan itu sentiasa disuburkan dan inilah yang perlu kita pupuk dari masa ke masa.
“Apa yang penting, dalam kita menghayati kepelbagaian kaum dan budaya ini adalah rasa saling hormat dan memahami kerana dengan adanya dua perkara tersebut perpaduan akan dapat dikukuhkan,” ujarnya kepada media dalam Program Walkabout Sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Pekan Putatan, kelmarin.
Menerusi program tahunan anjuran Pejabat Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat itu, Shahelmey berharap hubungan pemimpin dengan masyarakat dapat dikukuhkan lagi dan beliau menyeru agar perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini disambut dengan kesyukuran.
“Kita berharap dengan aktiviti tahunan sepanjang musim Tahun Baharu Cina dan perayaan-perayaan lain, kita dapat mengeratkan lagi hubungan di antara pemimpin atau wakil rakyat dengan rakyat sambil mendengar perkhabaran daripada mereka.
“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hua di kawasan Parlimen Putatan dan sambutlah tahun baharu ini dengan rasa bersyukur dan diharap tahun naga emas ini akan membawa lebih kemakmuran sepertimana yang dipercayai oleh kaum Tiong Hua,” katanya.
Dalam program tersebut, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan melawat dan mengagihkan limau kepada masyarakat Tiong Hua di beberapa premis perniagaan di Taman Pantai Lok Kawi dan sekitar Putatan.
Di samping itu, Shahelmey turut menyantuni dan menyampaikan angpow serta limau kepada seorang warga emas di Taman Jumbo Petagas.