TAMBUNAN: Daerah Tambunan menunjukkan peningkatan penghasilan padi 11 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, penanaman padi adalah satu aktiviti ekonomi yang menguntungkan dan merupakan asas makanan keperluan manusia untuk hidup.

Katanya, Sabah mengimport beras tidak kurang daripada 550 tan metrik bernilai RM550 juta setahun.
“Jumlah wang tersebut menjadi pendapatan petani sekiranya dapat menghasilkan jumlah beras yang diperlukan,” katanya di Majlis Pelancaran Penanaman Padi Luar Musim menggunakan benih padi High Yielding Variety (HYV) TR8 di Daerah Tambunan, semalam.
Jeffery yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan berkata, benih-benih padi HYV TR8 turut diberikan kepada para peserta program dengan harapan dapat menggandakan pengeluaran hasil padi di Tambunan.
“Kita berharap ini akan memulakan proses modernisasi pertanian di daerah Tambunan dan Sabah amnya,” ujarnya.
“Sekiranya 4,000 hektar tanah ditanam dengan padi, ia boleh menghasilkan 16 ribu tan padi atau 10 ribu tan beras dengan nilai jualan mencapai RM26 juta setahun dan merupakan sumber pendapatan para petani,” katanya.
Beliau berkata, untuk mencapai penghasilan beras yang tinggi para petani perlu menerima perubahan alur minda daripada tradisi kebiasaan kepada modern yang melibatkan pengamalan teknologi dalam penanaman padi, berfikiran secara komersial dan pengeluaran padi secara berkelompok.
Katanya, petani harus menerima penanaman benih padi baharu yang akan menghasilkan lebih banyak padi,
“Kedua ialah menerima perubahan cara menanam padi, yang mana kita perlu menggunakan mesin untuk membajak dan menanam,
“Yang ketiga, mengubah sikap kita yang mengeluarkan hasil secara sendirian atau berasingan. Cara lama perlu diubah supaya dapat menggunakan cara modern dan mekanisasi, dan pengurusan secara komersial,
“Maka itu penghasilan lebih banyak, pengurusan lebih mudah dan pendapatan lebih komersial,” katanya.
Menjawap soalan wartawan mengenai lawatan rasmi rombongan MAFFI ke PLS Marketing (M) Sdn Bhd, Sekinchan, Selangor untuk meneroka cara pengelolaan penanaman padi, beliau berkata, model penanaman padi di Sekinchan amat baik untuk diterimapakai di Sabah.
“Sebab itu kita akan buat pilot projek mini Sekinchan di Tambunan, dan kita akan melawat tempat itu selepas majlis ini” ujarnya.
Sebelum itu, Pengarah Pertanian Jifrin Mohamad memperingatkan tentang kemasukan masalah “padi angin” di Sabah disebabkan pembawaan benih padi dari luar.
Beliau menggesa para petani bekerjasama untuk tidak membawa benih pertanian ke Sabah tanpa melalui saluran yang betul.
Jifrin berkata, daripada 2,064 hektar keluasan yang aktif untuk penanaman padi di Daerah Tambunan, telah berlaku penurun kepada hanya 1,200 hektar yang ditanam pada 2022.
Katanya, keluasan yang ditanam pada tahun 2023 telah meningkat kepada sekitar 1,460 hektar yang mana turut meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri.