Sabah yakin mencapai sasaran 60 peratus vaksinasi menjelang oktober depan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diharap akan memberikan bekalan vaksin yang secukupnya bagi membolehkan 2.7 juta daripada penduduk Sabah dapat di vaksinasi dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah ini bertujuan agar sasaran bagi mencapai 60 peratus penduduk Sabah menerima vaksin akan dapat menjelang Oktober depan.

Katanya, Sabah sepatutnya menerima 2.2 juta dos vaksin pada bulan Julai serta Ogos, namun terdapat sedikit kelewatan penghantaran oleh pembekal kepada negara ini.

“Sebenarnya kita mahu 2.7 juta daripada penduduk Sabah diberikan vaksin, jadi kita berharap Kerajaan Persekutuan akan beri (vaksin yang secukupnya).

“Difahamkan terdapat sedikit kelewatan tetapi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mula menjadualkan balik penghantaran vaksin ini,” katanya di sini hari ini.

Mengulas cadangan agar Sabah memohon bekalan vaksin lebih Hajiji berkata, sememangnya Sabah mempunyai cadangan sedemikian.

“Kita berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin kepada Sabah dengan jumlah yang banyak sekali gus melonjakkan kadar vaksinasi di negeri ini,” katanya.