KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk menempatkan mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas Tawau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina LIew berkata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun bersetuju untuk berbincang dengan rakan sejawatannya dari Persekutuan berhubung cadangan itu.
Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata beliau telah berbincang dengan Masidi mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurut Christina, beliau berharap persetujuan berhubung cadangan PPR Kurnia Jaya daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan dapat segera dicapai demi mengurangkan beban dihadapi penduduk yang kehilangan harta benda akibat kebakaran itu.
Tambahnya, beliau akan mendapatkan data diperlukan dan pecahan setinggan tempatan dan haram, sambil menambah bahawa majoriti mangsa kebakaran adalah penduduk tempatan berdasarkan statistik Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya gembira kerana Menteri telah mengemukakan maklum balas terhadap permintaan saya serta bersetuju untuk membawa isu ini dengan Kerajaan Persekutuan bagi manfaat lebih 1,300 mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran besar Khamis lalu.
“Saya akan menulis surat kepadanya secara rasmi berhubung cadangan saya. Ini adalah kejadian paling teruk dalam sejarah Tawau. Hampir setiap tahun, berlaku kebakaran di Tawau membabitkan rumah setinggan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
“Kita tidak boleh menunggu lebih banyak kebakaran berlaku sebelum mengambil pandangan serius terhadap perkara ini,” katanya.
Christina berkata sudah tiba masanya kerajaan bertindak menghapuskan rumah setinggan di daerah itu yang terdedah kepada kebakaran.