KOTA KINABALU: Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) serta Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS) dirancang bagi meningkatkan ekonomi rakyat di luar bandar khususnya daerah tersenarai daerah termiskin di negeri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata sehingga kini seramai 934 peserta bagi 52 MESEJ dibantu sejak program ini diperkenalkan pada 2006 memberi fokus bagi membantu golongan berpendapatan rendah di negeri ini.
Katanya, bagi program RSRS berkonsepkan pemberian bantuan rumah selesa kepada golongan penduduk luar bandar memerlukan sekali gus mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.
“Program RSRS ini sebenarnya secara tidak langsung dikenalpasti membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini. Contohnya, apabila golongan sasar tidak perlu lagi terbeban dengan kos sewa rumah mahal hasil bantuan rumah kediaman disalurkan.
“Bermula pada tahun 2021, satu peruntukan khusus disediakan untuk program ini membantu 12 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dari beberapa daerah di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Banggi, Mohammad Mohamarin dalam pertanyaan untuk jawapan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Jahid berkata, berkaitan Program Usahawan Luar Bandar serta Aktiviti Ekonomi Tambahan, memberi fokus kepada aktiviti penternakan burung walit dilihat sebagai contoh pendapatan baharu kepada rakyat di negeri ini.
Selain itu, dalam bidang pertanian pula, aktiviti tanaman Sacha Inchi dan Pisang Sabah juga menjadi keutamaan kementerian dalam meningkatkan sosio ekonomi masyarakat luar bandar.