TUARAN : Sabah memperuntukkan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) Program Mikro Kredit bago memperkasa usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan wanita berpendapatan rendah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana mencukupi supaya ia dapat terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.
Katanya, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menerima peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta dalam bentuk geran untuk dana pusingan pinjaman, selain geran tahunan bagi menampung sebahagian kos operasi program pinjaman tersebut.
“Peminjam YUM dapat membayar balik pinjaman mereka tepat pada masanya, agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat program ini.
“Kejayaan peminjam memanfaatkan pinjaman YUM bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka, kita harap lebih ramai rakyat melalui dana pusingan pinjaman yang mencukupi,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, YUM menyediakan perkhidmatan mikro kredit bertujuan membantu isi rumah miskin tegar keluar daripada belenggu kemiskinan melalui modal pinjaman bagi menjalankan aktiviti penjanaan pendapatan.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi antara agensi paling penting dalam memperkasa ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“YUM menyalurkan RM805.25 juta pinjaman melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 orang peminjam, dengan 18,888 ahli masih mempunyai pinjaman aktif,” jelas Hajiji.
Menurutnya, prestadi bayaran balik pinjaman sangat membanggakan, dengan kadar pembayaran balik kumulatif melebihi 96 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa semua peminjam yang terdiri daripada wanita – adalah pembayar yang berdisiplin.
“Hampir 20 peratus peminjam YUM berada di bawah garis kemiskinan berjaya mencapai pendapatan bulanan melepasi paras tersebut,” katanya.