TENOM: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mendapat mandat sekali lagi untuk mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berdasarkan kehadiran ahli Parti Gagasan Rakyat di setiap persidangan bahagian mendapat sokongan padu daripada akar umbi.
Katanya, persefahaman setiap pemimpin dalam gabungan GRS sudah pasti menjamin kemenangan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada PRN nanti.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Gagasan Rakyat Melalap dapat memikul tanggungjawab itu sekiranya diberi peluang menjadi calon.
“Keputusan calon kawasan itu akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti dan gabungan itu.
“Pengundi DUN Melalap kini mencecah 20,129 dan Gagasan Rakyat berjaya menubuhkan 134 cawangan dengan jumlah 7,510 ahli berdaftar di pejabat bahagian,” katanya di sini semalam .
Sempena majlis itu, Gagasan Rakyat Melalap turut mengumumkan penubuhan 25 cawangan baharu dan hampir 1,000 ahli menjadi perwakilan dan pemerhati.