TUARAN : Sabah melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah yang berpotensi menjana pendapatan sehingga RM34.4 juta setahun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini berdasarkan anggaran pendaratan sebanyak 3,240 metrik tan setahun dan pulangan pelaburan sebanyak 7.6 kali.

Katanya, projek ini akan membuka peluang eksport baharu bagi kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, penghasilan sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.
“Bagi pihak swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan makanan laut, pembungkusan lestari dan pembangunan rantaian bekalan eksport Sabah.
“Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan Ekonomi Biru menjadi asas ekonomi kukuh bagi rakyat Sabah.

“Kerajaan Negeri komited melaksanakan langkah-langkah meneroka sumber marin dan maritim sebagai usaha memperkukuh kedudukan negeri dalam landskap Ekonomi Biru antarabangsa.
“Ekonomi Biru bukan sahaja berpotensi mengimbangi kemakmuran dan kelestarian, malah menjelang tahun 2030, nilai global Ekonomi Biru diunjurkan mencecah USD3 trilion,” jelas Hajiji.
Menurutnya, Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah yang akan dilaksanakan dalam dua fasa ini adalah hasil kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah.
“Fasa pertama yang telah selesai melibatkan kajian pemetaan dan penerokaan sumber kerang darah Tegillarca granosa yang dijalankan dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi termasuk Tuaran dan Beluran, yang akan memulakan projek perintis.
“Fasa kedua projek dijadualkan bermula pada tahun 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan lapangan sebenar,” jelas Hajiji.
Menurutnya, sebanyak 77 lot akuakultur telah dikenal pasti, merangkumi 12 di Tuaran dan 65 di Beluran melibatkan kawasan seluas 1,617 hektar.
“Setiap lot akan dikendalikan oleh 10 ketua isi rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan 770 KIR sebagai penerima manfaat utama terdiri daripada usahawan perikanan, komuniti luar bandar dan kumpulan B40.
“Malah, jika hanya 40 peratus daripada lot ini beroperasi pada kapasiti optimum, peserta mampu memperoleh pendapatan sekitar RM4,800 hingga RM6,500 sebulan,” katanya.