KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkukuh hala tuju pembangunan sumber manusia negeri apabila mengumumkan dua peruntukan besar bagi meningkatkan kompetensi penjawat awam, sekali gus memastikan jentera pentadbiran terus berada pada tahap terbaik.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan menyediakan RM7.6 juta khusus untuk memperluas program pembelajaran berterusan, bagi melahirkan barisan pegawai yang lebih berpengetahuan, mahir, dan memiliki keupayaan analitikal serta kepimpinan yang menepati keperluan masa depan.
“Pelaburan ini penting untuk membentuk pegawai kerajaan yang mampu berfikir secara strategik dan membuat keputusan tepat dalam era pentadbiran moden,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026.
Selain itu, Masidi turut mengumumkan bahawa RM16.85 juta lagi diagihkan kepada semua agensi kerajaan di bawah inisiatif pembangunan sumber manusia, bagi memastikan setiap penjawat awam dilatih dengan kemahiran terkini dan bersedia menghadapi cabaran semasa.
Menurut beliau, penekanan terhadap latihan dan peningkatan profesionalisme ini adalah kunci untuk memastikan perkhidmatan awam Sabah kekal cekap, responsif dan dekat dengan keperluan rakyat.
