KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan memberi tumpuan penuh terhadap penyelesaian isu asas rakyat – jalan raya, air dan elektrik – sebagai keutamaan utama negeri pada tahun 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata masalah “tiga serangkai” itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia menjejaskan kualiti hidup rakyat serta perkembangan ekonomi negeri.
“Ini keutamaan Kerajaan Negeri. Tahun depan kita fokus selesaikan cabaran jalan raya, air dan elektrik,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2026 di Dewan Undangan Negeri.
Hajiji menegaskan belanjawan tersebut terus mengangkat agenda peningkatan taraf hidup rakyat, termasuk program kebajikan, pendidikan dan pembangunan modal insan.
Belanjawan Negeri 2026 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, yang menunjukkan lebihan dengan perbelanjaan RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil RM6.430 bilion.
Kementerian Kerja Raya & Utiliti – yang mengurus jalan raya, air dan elektrik – menerima peruntukan pembangunan terbesar, iaitu RM1.122 bilion, bagi mempercepat projek infrastruktur tahun depan.
