TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh keselamatan tenaga melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya tahan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta menambah baik infrastruktur bekalan elektrik di seluruh negeri.
Menurut beliau, langkah berterusan itu merangkumi peningkatan kapasiti penjanaan tenaga, pengukuhan rangkaian penghantaran dan pengagihan serta penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
Katanya, kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah dan Suruhanjaya Tenaga Sabah melaksanakan strategi menyeluruh yang merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Komitmen ini penting bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil untuk menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan bersama Ketua Menteri di Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-Laya Tuaran.
Hajiji berkata antara inisiatif utama termasuk pembangunan projek tenaga baharu dengan gabungan sumber seperti gas, hidro, solar dan angin serta teknologi penyimpanan tenaga moden.
