PM Anwar dijadual lawat Sabah esok, hadiri empat program di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Sabah esok dengan menghadiri beberapa program utama di sekitar bandar raya ini.

Lawatan itu akan dimulakan dengan menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah pada jam 12 tengah hari.

Pada sebelah petang, beliau dijangka menghadiri program Mini Konvensyen Keadilan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Klagan Hotel pada jam 2.30 petang.

Perdana Menteri juga dijadual meninjau Bazar Ramadan di kawasan University Apartment (UA), Sepanggar sekitar jam 4.55 petang.

Lawatan berkenaan akan diakhiri dengan kehadiran beliau pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada jam 5.30 petang.