TAWAU : Kepelbagaian masyarakat pelbagai kaum berkunjung sempena Hari Raya Aidilfitri mencerminkan Sabah merupakan contoh kepada konsep Malaysia Madani di negara ini.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata, kepelbagaian masyarakat hadir pada majlis sambutan Hari Raya menunjukkan konsep diihlamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat bertepatan untuk terus diamalkan di seluruh negara.
Katanya, sebagai contoh di Tawau pelbagai lapisan masyarakat tidak ketinggalan berkunjung ke rumah sanak saudara untuk meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan kepelbagaian masyarakat, budaya serta agama ini perlu dikekalkan di masa depan.
“Kita semua maklum, baru-baru ini masyarakat di Sabah meraikan perayaan Tahun Baharu Cina. Masyarakat pelbagai kaum juga turut hadir bersama-sama untuk meraikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program bersama penduduk Kampung Kijang Merotai, di sini semalam.
Liew merupakan Pengerusi Pengerusi Kumpulan DESA berkata, ini jelas menunjukkan tradisi ini merupakan satu kombinasi yang sempurna sebagai langkah mempromosikan kebudayaan negeri Sabah yang begitu unik selaras dengan konsep Malaysia Madani.
“Apa yang penting, perpaduan kalangan kaum berlandaskan dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Ini membawa makna besar kepada negeri Sabah untuk menuju ke arah penyatuan semua masyarakat berbilang kaum serta etnik besar di negeri ini,” jelas Liew.