KOTA KINABALU: Sabah melaporkan 1,078 kes baharu Covid-19 hari ini, naik 116 kes berbanding kelmarin (962).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah mencatatkan peningkatan kes kembali melepasi angka 1,000 setelah buat pertama kalinya mencatatkan angka jangkitan kes dibawah angka berkenaan semalam sejak 4 Ogos 2021.
Katanya, trend perubahan angka bagi kadar jangkitan harian adalah tidak statik dan sentiasa berubah.
“Trend ini berubah dengan kebarangkalian dipengaruhi oleh sejauh mana pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh masyarakat.
“Semakin tinggi kadar pematuhan SOP maka semakin rendah risiko untuk berlaku pertambahan jangkitan,0 kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurut beliau, jumlah peningkatan kumulatif kes Sabah pada hari ini selari dengan statistik bilangan daerah mencatatkan peningkatan kes, iaitu 14 daerah berbanding 12 daerah yang mencatatkan penurunan kes, sementara satu daerah iaitu Sandakan, kekal mencatatkan kes sebagaimana semalam.
“Bagi kawasan bandar utama, Lahad Datu mencatatkan peningkatan kes tertinggi iaitu sebanyak 131 kes (+58), Kota Kinabalu 123 kes (+32), Sandakan 81 kes dan Penampang 64 kes (+16).
“Kawasan bandar utama lain mencatatkan penurunan dengan Tawau 41 kes (-23), Putatan 34 kes (-14) dan Kudat 22 kes (-6). 13 daripada kes-kes baharu yang didaftarkan di Kota Kinabalu melibatkan pekerja-pekerja pelantar minyak offshore.
“Antara daerah lain yang mencatatkan peningkatan ketara ialah Keningau (+41 kes), Ranau (+34), Nabawan (+22), Pitas (+14) dan Tongod (+12).
“Daerah lain yang mencatatkan penurunan signifikan pada hari ini antaranya Kalabakan (-23), Papar (-21) dan Tenom (-18). Terdapat hanya 8 kes melibatkan OKT/banduan yang dicatat hari ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, pengurangan kes-kes daftar tertunggak menunjukkan sistem kemaskini data semakin bertambah baik.
Daripada 1,078 kes yang didaftar hari ini, katanya, 461 kes (42.76%) adalah kes-kes lewat daftar antara 2 hingga 3 hari, 28 kes (2.60%) adalah lewat daftar 4 hingga 5 hari dan 17 kes (1.58%) adalah kes yang berdaftar lewat melebihi 5 hari.
Katanya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 611 kes (56.7%), sementara saringan bergejala menyumbang 306 kes (28.4%), 36 kes (3.3%) daripada saringan kluster, 125 kes (11.6%) melalui saringan Lain-lain dan saringan bersasar, tiada kes.
Daripada 1,078 kes yang berdaftar hari ini, ujarnya, 316 kes (29.31%) adalah pesakit dalam kategori satu, 677 kes (62.80%) dalam kategori dua, 4 kes dalam kategori tiga, 12 kes dalam kategori empat dan 8 kes dalam kategori lima. 61 kes masih dalam siasatan.
Sebanyak 89.15% daripada jumlah keseluruhan pesakit adalah warganegara Malaysia, tambah beliau.