KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh komitmen terhadap pengurusan perhutanan lestari apabila melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelancaran buku berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan perdagangan kayu dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan mematuhi piawaian antarabangsa.
Menurut beliau, Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan pematuhan perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
“Sistem ini meletakkan Sabah di barisan hadapan dalam memenuhi jangkaan peraturan dan pasaran global yang semakin ketat, khususnya menjelang pelaksanaan EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, pada majlis pelancaran Buku Sabah TLAS+ di sebuah hotel, di sini.
Hajiji berkata, penghasilan buku berkenaan adalah sebagai tindak balas terhadap perkembangan pasaran global yang kini menuntut produk kayu bukan sahaja sah dari segi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki serta melalui penilaian risiko yang ketat.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah–Malaysia sejak 2024 bagi menaik taraf sistem sedia ada kepada Sabah TLAS+.
Menurutnya, sistem itu turut mengintegrasikan elemen tadbir urus termaju termasuk kebolehjejakan digital, penggunaan geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang lebih menyeluruh.
“Ia bukan sahaja memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan bebas penebangan dan degradasi hutan, malah selari dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kini menjadi penanda aras global,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan, selain memuji Jabatan Perhutanan Sabah, pemain industri serta pihak berkepentingan yang menjayakan pelaksanaan sistem berkenaan.
