KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, TYT Rafael Daerr, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Rafael Daerr menegaskan Sabah mempunyai kedudukan penting dalam hubungan EU–Malaysia selari dengan peranan strategik negeri ini di rantau Asia Tenggara serta potensi besar dalam bidang ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan komitmen Kesatuan Eropah untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah berlandaskan hubungan baik serta penglibatan positif yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa bersikap terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan berupaya memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan Sabah.
Menurut beliau, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kemungkinan kerjasama masa depan antara EU dan Sabah, termasuk meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi, sejajar dengan keutamaan kerajaan negeri.
Perbincangan itu turut menyentuh pendekatan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi, selaras dengan visi pembangunan Sabah dan kepentingan bersama Kesatuan Eropah.
Terdahulu, Rafael Daerr menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republik Korea di Kota Kinabalu, Encik Choi Bongkyu, yang juga merupakan pertemuan pertamanya dengan Ketua Menteri selepas dilantik sebagai Konsul pada November lalu.
