KOTA KINABALU: Tiga jawatan utama Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) bagi sesi 2026-2028 dimenangi tanpa bertanding selepas mendapat sokongan majoriti cawangan di seluruh negeri.
Setiausaha Agung PMBS, Norhasan Ismail berkata, jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden 1 tidak akan dipertandingkan pada Mesyuarat Agung Tiga Tahun Perwakilan (AGM) yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun ini.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan usul yang dikemukakan oleh 31 daripada 32 cawangan yang layak mengadakan persidangan antara 1 hingga 31 Mei lalu.
“Ini bermakna penyandang Presiden, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Timbalan Presiden, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir dan Naib Presiden 1, Pengiran Japar Pengiran Osman menang tanpa bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pertandingan hanya melibatkan sembilan jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat (AJP), manakala senarai penuh calon yang layak bertanding akan diumumkan dalam masa terdekat.
