KOTA KINABALU: Hospital Ranau mengemukakan cadangan menaik taraf hospital berkenaan kepada status Hospital Pakar Minor bagi meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah Ranau.
Cadangan itu dibentangkan semasa kunjungan hormat pihak pengurusan Hospital Ranau yang diketuai Pengarahnya, Dr Roniyuzam Abdul Malek kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut Masidi, usaha menaik taraf kemudahan kesihatan di daerah berkenaan selaras dengan keperluan rakyat, khususnya bagi mengurangkan kebergantungan rujukan pesakit ke hospital di luar kawasan.
“Perancangan pembangunan perlu dilaksanakan secara rapi dan berperingkat supaya setiap pelaksanaan memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat,” katanya.
Dalam taklimat itu, pihak hospital mencadangkan penambahan fasiliti baharu termasuk penyediaan mesin imbasan terkini, peningkatan kemudahan pesakit serta pembinaan bangunan baharu yang dilengkapi wad pesakit, unit diagnostik dan pengimejan perubatan serta ruang rawatan klinikal.
Cadangan pembangunan turut melibatkan peluasan kawasan tempat letak kenderaan selain pembinaan klinik kesihatan di lokasi strategik bagi memudahkan akses perkhidmatan kesihatan, terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Masidi dalam pada itu menegaskan komitmen Kerajaan Sabah untuk terus memperkukuh sistem kesihatan awam di negeri ini dan mengingatkan semua pihak agar sentiasa mengutamakan kualiti perkhidmatan, etika kerja serta layanan mesra dan profesional kepada pesakit.
