UMS perkukuh kesiapsiagaan gempa bumi komuniti Segamat

KOTA KINABALU: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasa kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko gempa bumi menerusi penganjuran Program Kesiapsiagaan Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) Gempa Bumi di Segamat, Johor.

Program hasil kerjasama strategik NDRC UMS bersama Pertubuhan Ihsan Johor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu menghimpunkan kira-kira 100 peserta daripada komuniti setempat melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap dan DUN Pemanis.

Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Dr. Carolyn M. Payus berkata, penglibatan NDRC sebagai rakan strategik mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kepakaran akademik.

Menurutnya, pelaksanaan program turut disokong peruntukan kewangan projek CBDRM oleh NADMA yang disalurkan kepada NDRC, sekali gus membolehkan sebahagian peruntukan dikongsi bersama Pertubuhan Ihsan Johor bagi menyokong pelaksanaan program di Segamat.

“Sebagai rakan strategik utama, NDRC UMS memainkan peranan penting dalam penyediaan kandungan teknikal serta pelaksanaan modul latihan berasaskan kepakaran akademik dan pengalaman lapangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Prof. Madya Dr. Noor Sheena Herayani Harith menyampaikan modul berkaitan kefahaman asas gempa bumi yang merangkumi punca kejadian, ciri gegaran, risiko geologi serta implikasinya terhadap keselamatan komuniti dan infrastruktur.

Program berkenaan turut memberi penekanan kepada latihan simulasi dan keupayaan komuniti untuk bertindak secara terancang serta berkesan dalam mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda.

Penglibatan NDRC UMS dalam program itu menegaskan peranan universiti sebagai pusat rujukan kepakaran dan pemindahan ilmu.

Selain itu, menyokong usaha nasional ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan, selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dan Kerangka Sendai 2015–2030.