Pondok Syabu Diroboh, Lelaki Dicekup

SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan manakala sebuah pondok yang dipercayai dijadikan sarang pengedaran dan penagihan dadah jenis syabu dirobohkan dalam Ops Bersepadu anjuran ESSCOM di beberapa kawasan setinggan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, operasi membabitkan kawasan Setinggan Kampung Pangeran Galpam, Setinggan Letat Batu 3 dan Setinggan Kampung Kombo, Jalan Batu Sapi.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Ini termasuk sebuah pondok di Setinggan Kampung Kombo yang dipercayai digunakan sebagai lokasi pengedaran serta penagihan syabu turut dirobohkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

George berkata, suspek dibawa ke Pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine sebelum ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi sama, BSJND Sandakan bersama Balai Polis KM52 dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sandakan turut menahan tiga lelaki selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis sama.

Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

George menegaskan, operasi bersepadu itu membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.