KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meletakkan pembangunan belia sebagai salah satu tonggak utama dalam hala tuju negeri, selaras dengan pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penekanan itu selari dengan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang mahu golongan belia diperkasa sebagai pelapis kepimpinan masa depan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Majlis Belia Sabah (MBS) serta menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat kementeriannya di Bangunan MUIS, di sini, hari ini.
Menurutnya, Majlis Belia Sabah perlu sentiasa bergerak seiring dengan kerajaan dalam membangunkan potensi golongan belia, selain bersedia menggalas tanggungjawab kepimpinan bagi memastikan Sabah kekal kompetitif di peringkat global.
“Belia perlu memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan politik dan ekonomi negeri yang sedang dibina ketika ini,” katanya.
Majlis Belia Sabah merupakan badan induk kepada pertubuhan belia di negeri ini dan berfungsi sebagai suara utama serta penggerak kepada pembangunan generasi muda.
