KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan akan terus melaksanakan dasar kukuh sekali gus membawa lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, persetujuan Putrajaya untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Negeri pada 21 Dis 2022, menandakan permulaan yang positif, katanya.
Katanya, Awal minggu ini beliau membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang diluluskan sebulat suara pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri.
“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat Cina yang majoritinya berniaga akan bekerjasama dengan Kerajaan untuk membangunkan negeri ini.
“Saya yakin dengan sokongan daripada semua rakyat, khususnya masyarakat Cina, setiap langkah yang diambil oleh Kerajaan akan secara progresif menggerakkan Sabah ke arah yang betul,” katanya di sini malam tadi.
Teks ucapannya dibacakan, Timbalannya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, kerajaan akan memastikan rakyat mendapat pembangunan yang sama rata, termasuk peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan agama bukan Islam di negeri ini.
“Sabah adalah masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang pelbagai di mana toleransi dan penerimaan warisan antara satu sama lain telah wujud. Kerajaan menggalakkan dan menyokong perkara ini,” katanya.